Selasa, 31 Oktober 2017 | 9:30pm
SEORANG kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dilaporkan hilang ditemui semula dalam keadaan selamat oleh orang awam di kawasan tepi sungai iaitu 500 meter dari rumah neneknya di Taman Yayasan Sungai Jarom. - Foto Ihsan Pembaca

Cucu hilang ditemui selamat di tepi sungai

KUALA LANGAT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ditemui semula selepas hampir lima jam hilang ketika berada dalam jagaan neneknya di Taman Yayasan, Sungai Jarom di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman @ A Rahman berkata, kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan selamat oleh orang awam kira-kira jam 5.30 petang.

"Kanak-kanak itu dijumpai di kawasan tepi sungai yang jaraknya kira-kira 500 meter daripada rumah pengadu iaitu nenek mangsa.

"Kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Banting untuk pemeriksaan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Azizan berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 1 petang nenek mangsa, Ang Kim Liang, 71, bersama mangsa berada di hadapan rumah mereka sambil berbual dengan jiran di sebelah rumah.

"Kemudian jirannya meminta tolong pengadu mengambil dan membuang kayu yang berada di belakang rumahnya. 

"Cucu pengadu mengikut jirannya pergi ke belakang rumah. Selepas itu, pengadu menyedari cucunya tiada di situ," katanya.

Beliau berkata, pengadu berusaha mencari cucu di sekeliling rumah dan taman di tempat pengadu tinggal tetapi gagal.

"Pengadu membuat laporan polis kerana bimbang perkara yang tidak diingini terjadi terhadap keselamatan cucunya.

"Pengadu menjaga cucunya kerana anak perempuan pengadu bekerja di sebuah klinik di berhampiran dengan kawasan perumahan itu," katanya.

Berita Harian X