Sabtu, 28 Oktober 2017 | 8:10pm

`Peragut viral' ditahan

IPOH: Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan susulan video kes ragut di Chemor, dekat sini, yang viral di laman sosial, hari ini.

Video berdurasi 57 saat itu menunjukkan seorang lelaki menghampiri seorang wanita dari arah belakang dan meragut rantai leher mangsa di hadapan sebuah rumah di Desa Chemor Permai, Chemor, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata setakat ini, polis menahan dua lelaki dipercayai boleh membantu siasatan dalam kes itu.

"Suspek pertama ditahan semalam dan direman tujuh hari hingga Khamis ini, manakala suspek kedua ditahan hari ini dan direman empat hari.

"Kedua-duanya berusia lingkungan 30-an ditahan bagi membantu siasatan dan semakan mendapati suspek masing-masing mempunyai satu rekod jenayah membabitkan jenayah dan dadah," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Chang Keong berkata, dalam kejadian jam 7 malam, Rabu lalu, mangsa berusia 34 tahun yang bekerja sebagai kerani dipercayai baru pulang ke rumah dari tempat kerja.

"Setibanya mangsa di hadapan rumah, seorang suspek datang dari arah belakang dan menarik rantai leher mangsa.

"Mangsa melawan dan terjatuh sebelum menjerit minta tolong. Sebaik suami mangsa keluar dari rumah, suspek yang tidak sempat mengambil barang kemas mangsa melarikan diri menaiki motosikal bersama rakannya," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun.

 DUA lelaki ditahan bagi membantu siasatan susulan video kes ragut di Chemor.
DUA lelaki ditahan bagi membantu siasatan susulan video kes ragut di Chemor.
Berita Harian X