Jumaat, 27 Oktober 2017 | 2:59pm

Polis, SKMM siasat Johari Asmat

KUALA TERENGGANU: Polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat dan mengenal pasti pemilik akaun Facebook bernama Johari Asmat, yang didakwa memfitnah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, berkata kertas siasatan itu dibuka selepas polis menerima empat laporan dibuat oleh pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) di Balai Polis Batu Rakit, petang semalam.

Beliau berkata, polis sudah mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengesan nama dan alamat tempat tinggal Johari Asmat.

"Laporan polis itu menyebut Johari Asmat memfitnah Bazlan melalui Facebook dengan mendakwa Timbalan EXCO kerajaan negeri itu menerima habuan sebanyak RM20,000, selain bersubahat dengan kontraktor untuk mengorek pasir pantai di Kampung Mengabang Besar, Batu Rakit, di sini, sejak Khamis lalu.

"Setakat ini polis sedang menunggu laporan daripada SKMM untuk tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Idris berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta SKMM 1998 yang jika sabit kesalahan, individu berkenaan boleh dijatuhi hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras DUN Batu Rakit, Shahir Mohd Noor berkata, laporan itu bertujuan mendesak polis dan SKMM mengambil tindakan undang-undang ke atas pemilik akaun Facebook yang memfitnah Bazlan.

"Fitnah yang mengaitkan Bazlan menerima habuan RM20,000 daripada kontraktor yang didakwa mencuri pasir pantai dan bersubahat dalam aktiviti mengorek pasir adalah satu penghinaan yang menjejaskan kewibawaan wakil rakyat berkenaan," katanya.

Berita Harian X