Khamis, 19 Oktober 2017 | 11:01am
ANGGOTA polis mengangkat seorang pelajar lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat lima bangunan kampus kediaman sebuah universiti di Sungai Chuchuh, Padang Besar, Perlis awal pagi tadi - Foto Muhammad Mustakim Ramli
SEORANG pelajar lelaki ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat lima, kampus kediaman sebuah universiti awam di Sungai Chuchuh. - Foto Muhammad Mustakim Ramli

Maut terjatuh bangunan

PADANG BESAR: Seorang penuntut lelaki meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan kediaman pelajar perempuan di Sungai Chuchuh di sini, awal pagi tadi.

Mangsa berusia 22 tahun berasal dari Perak itu ditemui dalam keadaan telentang di tingkat bawah bangunan oleh pengawal keselamatan kira-kira jam 1.30 pagi.

Sumber berkata, pengawal keselamatan memeriksa keadaan sejurus dimaklumkan oleh beberapa pelajar yang mendakwa terdengar bunyi seperti objek terhempas.

"Difahamkan, mangsa yang menuntut di sebuah universiti di selatan tanah air, datang bertemu rakannya yang tidak pulang bercuti sempena perayaan Deepavali," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Ghazani Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, untuk bedah siasat.

Berita Harian X