Isnin, 16 Oktober 2017 | 8:24pm
SYAZWANI yang diletakkan di dalam pengusung khas yang dipasang di dalam ruang penumpang pesawat MAS Airlines menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Ihsan Suhaila Amiruddin

SUHAILA Amiruddin (berdiri lima dari kiri) bersama Syazwani di Rumah Sakit Umum Pusat (RSUP) Dr Wahidin Sudirohusodo, Makassar sebelum bertolak ke Denpasar, Bali menaiki pesawat Sriwijaya Air, petang tadi. - Foto Ihsan Suhaila Amiruddin

Mangsa nahas di Indonesia dibawa pulang  

KUALA LUMPUR: Dua beradik yang terbabit dalam kemalangan di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia dibawa pulang ke Malaysia.

Syazwani Amiruddin, 28 dan Suria Iskandar Amiruddin, 25, sebelum ini dirawat di Rumah Sakit Umum Pusat (RSUP) Dr Wahidin Sudirohusodo, Makassar.

Adik mereka, Syahirah Amiruddin, 22, pelajar tahun tiga jurusan perubatan di Universitas Hasanuddin, Makassar, terkorban dalam nahas berkenaan dan jenazah sudah dibawa pulang 1 Oktober lalu.

Suria Iskandar terlebih dahulu pulang pada hari Ahad lalu, manakala Syazwani berlepas kira-kira pada jam 4 petang tadi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), 11 malam ini.

Kakak mangsa, Suhaila Amiruddin, 36, berkata sebaik sahaja tiba di KLIA, Syazwani akan terus dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi menjalani pembedahan susulan, seterusnya menyambung rawatan.

SURIA Iskandar, selepas menerima rawatan susulan di bahagian kaki yang patah di pusat perubatan swasta di Shah Alam, Selangor. - Foto Ihsan Suhaila Amiruddin
SURIA Iskandar, selepas menerima rawatan susulan di bahagian kaki yang patah di pusat perubatan swasta di Shah Alam, Selangor. - Foto Ihsan Suhaila Amiruddin

Katanya, Syazwani yang patah di beberapa bahagian badan dibawa pulang menggunakan pengusung khas, menaiki pesawat Sriwijaya Air dari Makassar ke Denpasar, Bali dan seterusnya ke KLIA dengan pesawat MAS Airlines.

"Saya amat berterima kasih kepada Kedutaan Malaysia, yang menguruskan penghantaran pulang jenazah Syahirah dan pihak MAS Airlines yang menguruskan kepulangan Suria Iskandar serta Syazwani.

"Rakan Allahyarham Syahirah di Universitas Hassanuddin juga banyak membantu, mereka bergegas ke lokasi kemalangan dan membantu menguruskan rawatan awal di RSUP.

"Mereka juga menderma darah kepada Syazwani, selain menjaga kedua-dua adik saya di hospital sebelum kedatangan ahli keluarga.

"Mereka juga membantu memandikan dan menguruskan jenazah," katanya ketika dihubungi BH.

Bercerita mengenai kemalangan itu, Suhaila berkata, motosikal yang ditunggang tiga beradik itu dilanggar oleh sebuah lori.

"Ada sebuah motosikal di hadapan mereka terbabas masuk ke lorong kanan kerana mengelak lubang dan kemudian melanggar lori yang berada di lorong kanan.

"Penunggang berkenaan sempat melompat menyelamatkan diri sementara lori berkenaan hilang kawalan dan merempuh motosikal yang dinaiki ketiga-tiga adik saya," katanya.

Dalam kejadian 29 September lalu, Allahyarham Syahirah terkorban dalam nahas ketika menunggang motosikal bersama Syazwani dan Suria Iskandar ketika dalam perjalanan ke Pantai Tanjung Bira, yang terletak kira-kira 192 kilometer dari kota Makasar.

Syazwani dan Suria Iskandar mengunjungi arwah Syahirah untuk bercuti bersama.

Berita Harian X