Isnin, 9 Oktober 2017 | 8:49pm
SEPASUKAN pegawai dan anggota dari Balai Bomba Selayang membawa naik mayat lelaki yang dipercayai dibunuh sebelum dicampak ke lereng bukit di Jalan Gombak Lama-Genting Sempah, petang tadi.
SEPASUKAN pegawai dan anggota dari Balai Bomba Selayang membawa naik mayat lelaki yang dipercayai dibunuh sebelum dicampak ke lereng bukit di Jalan Gombak Lama-Genting Sempah, petang tadi.

Lelaki dibunuh, dicampak ke gaung

 

GOMBAK: Seorang lelaki yang dipercayai dibunuh kurang dari 48 jam ditemui di lereng bukit di Kilometer 34, Jalan Gombak Lama-Jalan Genting Sempah, di sini, petang tadi.

Mayat mangsa ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum memaklumkan kepada polis.

Pemeriksaan awal polis mendapati mangsa yang berusia dalam lingkungan lewat 30-an, dipercayai dicampak dari atas tebing setinggi 15 meter sebelum mayatnya jatuh di kawasan longgokan sampah dekat bawah pencawang elektrik.

Mayat mangsa yang berseluar pendek hitam, diikat dengan dawai manakala kepala dan kakinya dibungkus dengan karung guni putih.

Terdapat juga kesan kecederaan teruk pada bahagian kepada dan tengkuk mangsa, dipercayai akibat dipukul dengan objek keras.

Setakat ini identiti mangsa masih belum dapat dipastikan kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

Sehingga jam 7.30 malam tadi, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Gombak dengan bantuan Unit Siasatan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Kontinjen Selangor, masih melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.

Pihak polis juga terpaksa mendapatkan khidmat bantuan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba Selayang menggunakan tali dan pengusung untuk membawa naik mayat.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat dihantar ke Hospital Selayang, untuk bedah siasat.

Berita Harian X