Isnin, 9 Oktober 2017 | 2:03pm
ANTARA barangan yang dirampas termasuk peralatan pecah rumah dalam serbuan pada 29 September lalu.
ANTARA barangan yang dirampas termasuk peralatan pecah rumah dalam serbuan pada 29 September lalu.
ANTARA barangan yang dirampas termasuk peralatan pecah rumah dalam serbuan pada 29 September lalu.
ANTARA barangan yang dirampas termasuk peralatan pecah rumah dalam serbuan pada 29 September lalu.

Geng 'Ah Hau' tumpas, barangan RM300,000 dirampas

SERDANG: Polis berjaya menumpaskan Geng 'Ah Hau' yang terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan melarikan kereta selepas menahan enam suspek di dua tempat berasingan di Perak dan Kuala Lumpur, 29 September lalu.

Dalam serbuan jam 12.30 tengah hari itu, polis menahan lima warga tempatan yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita serta seorang wanita warga Vietnam berusia awal 30-an.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Mohd Megat Aminuddin Megat Alias, berkata serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Serdang selepas menerima laporan daripada seorang mangsa lelaki berhubung kejadian pecah rumah dan melarikan kereta di Bandar Kinrara, 8 September lalu.

"Hasil maklumat dan risikan, polis berjaya mengesan suspek di hadapan sebuah hotel di Chemor Perak serta di beberapa lokasi sekitar Cheras, Kuala Lumpur.

"Polis juga merampas tiga kereta mewah, 35 utas jam tangan pelbagai jenama, lapan kamera pelbagai jenama, peralatan pecah rumah, dompet, beg tangan wanita serta barang perhiasan wanita berwarna emas yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM300,000," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

 Mohd Megat Aminuddin, berkata kumpulan ini dipercayai bergiat aktif sejak dua tahun lalu.

"Hasil soal siasat mendapati 10 laporan diterima dan kumpulan ini bergiat aktif sejak dua bulan lalu di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Kedah.

"Salah seorang suspek lelaki yang ditahan mempunyai 17 rekod jenayah lampau dan dikehendaki polis di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959," katanya.

Beliau berkata, penahanan suspek itu dapat menyelesaikan 10 kes pecah rumah dan melarikan kereta.

Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan dan tempoh reman berakhir hari ini.

Berita Harian X