Selasa, 3 Oktober 2017 | 1:42pm
KHAIRUL Anwar (empat dari kiri) bersama anggota penguatkuasa yang terbabit dalam operasi merampas kasut tiruan pada sidang media di Stor Eksibit KPDNKK di Taman Desa Idaman, Senai. - Foto Mohd Sabran Md Sani
KHAIRUL Anwar (empat dari kiri) bersama anggota penguatkuasa yang terbabit dalam operasi merampas kasut tiruan pada sidang media di Stor Eksibit KPDNKK di Taman Desa Idaman, Senai. - Foto Mohd Sabran Md Sani

KPDNKK rampas kasut tiruan bernilai RM385,520

JOHOR BAHRU: Pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor merampas 5,230 pasang kasut tiruan berjenama bernilai RM385,520, dalam serbuan di tiga premis perniagaan di sebuah pasar raya di Skudai, semalam.

Dalam serbuan, kira-kira jam 2 petang semalam, kasut tiruan jenama Adidas, Nike dan Converse dijual serendah RM30 hingga RM100 sepasang bergantung kepada jenis dan kualiti barangan itu iaitu gred A, AA dan AAA.

Pengarah KPDNKK Johor, Khairul Anwar Bachok, berkata rampasan itu hasil risikan dan pemantauan selama sebulan sepasukan 25 anggota penguat kuasa KPDNKK diketuai Pegawai Penguat Kuasa Nazari Ham.

"Operasi membanteras penjualan barang tiruan itu membabitkan premis menjual kasut, sandal dan pakaian dalam sebuah pasar raya di Skudai," katanya pada sidang media di Stor Eksibit KPDNKK di Taman Desa Idaman, Senai di sini, hari ini.

ANGGOTA dan pegawai penguatkuasa KPDNKK memeriksa kasut tiruan dirampas di tiga premis kedai di sebuah pasar raya di Skudai. - Foto Mohd Sabran Md Sani
ANGGOTA dan pegawai penguatkuasa KPDNKK memeriksa kasut tiruan dirampas di tiga premis kedai di sebuah pasar raya di Skudai. - Foto Mohd Sabran Md Sani

Khairul Anwar berkata, pihaknya mengambil rakaman percakapan seorang lelaki berusia 41 dan wanita berusia 55 tahun dipercayai peniaga barangan tiruan itu.

"Kami percaya kasut itu turut diedarkan di pasar malam, pasar borong dan kedai kecil yang menjual barangan tiruan.

"Dengan kejayaan ini kami percaya dapat melumpuhkan aktiviti penjualan dan pengedaran barangan tiruan di daerah ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau maksimum tiga tahun penjara, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, KPDNKK Johor akan terus menjalankan operasi sama di premis yang menjual barangan tiruan jenama berkenaan termasuk barang cetak rompak.

Berita Harian X