Isnin, 2 Oktober 2017 | 8:53pm

Nelayan hilang ketika bina pondok ternakan kupang

MUAR: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut ketika sedang membina pondok untuk ternakan kupang dan kerang di kawasan pesisir pantai Kampung Parit Keroma Laut di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Muaz Abdul Mutalib, 20, dikatakan terjatuh dari kawasan pondok terbabit ketika cuba menarik botnya yang dihanyutkan arus selepas tali pengikat terlucut daripada tiang berhampiran tempat kejadian.

Bagaimanapun, tindakan itu menyebabkan mangsa turut dihanyutkan arus di kawasan pesisir pantai kampung berkenaan.

Pengarah Maritim Pangkalan Batu Pahat, Leftenan Komander Muhammad Zulkarnain Abdullah, berkata sebuah bot dengan tujuh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima laporan bapa mangsa kira-kira jam 3.30 petang tadi.

"Selain APMM, gerakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa turut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) Muar dan beberapa bot milik penduduk kampung terbabit.

"Sehingga jam 8.30 malam ini, operasi SAR masih lagi diteruskan untuk mengesan mangsa. Kita juga turut membuka pusat operasi di kampung yang sama," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Muhammad Zulkarnain turut mengingatkan komuniti nelayan yang keluar ke kawasan laut supaya mengutamakan keselamatan masing-masing dalam apa jua situasi.

Berita Harian X