Ahad, 1 Oktober 2017 | 11:41pm
AMIRRUDIN Rahmat dan isteri, Bahariah Md Shahir menabur bunga di atas pusara Syahirah Amiruddin di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, malam tadi. - Foto Muhammad Sulaiman
AMIRRUDIN Rahmat dan isteri, Bahariah Md Shahir menabur bunga di atas pusara Syahirah Amiruddin di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, malam tadi. - Foto Muhammad Sulaiman

Kali akhir bertemu Aidilfitri lalu

SHAH ALAM: Aidilfitri lalu menjadi pertemuan terakhir buat Amirrudin Rahmat dan isteri, Bahariah Md Shahir, serta keluarga dengan anak bongsu mereka, Syahirah.

Amirrudin, 63, yang ditemui selepas pengebumian anaknya itu malam ini kelihatan tenang dan reda dengan pemergian.

"Kami sekeluarga reda dengan pemergian Syahirah pada usia 22 tahun kerana sepanjang hayat beliau telah buat yang terbaik. Beliau anak syurga kami," katanya.

Malah, Amirrudin menyifatkan anaknya seorang yang sentiasa ceria sehingga saat akhir hayatnya.

Anak bongsu dari lapan beradik itu meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Sulawesi Selatan, Makassar, Indonesia petang Jumaat lalu.

Pelajar tahun tiga jurusan perubatan di Universitas Hasanuddin Makassar itu meninggal dunia di lokasi akibat cedera di kepala dan patah tengkuk dalam kemalangan motosikal kira-kira jam 4 petang.

"Arwah sangat ceria dan tidak menunjukkan sebarang perubahan. Tiada nampak ganjil.

"Setiap hari kami membuat panggilan video dan arwah sangat gembira. Begitu juga ketika membuat aktiviti bersama abang dan kakaknya," katanya.

Sementara itu, dua lagi anaknya Suria Iskandar, 25 dan Syazwani, 28, yang masih dirawat di Rumah Sakit Umum Pusat (RSUP) Dr Wahidin Sudirohusodo, Makassar ditemani anak sulungnya, Suria Kencana, 37.

"Kakak arwah, Syazwani agak kritikal dan doktor buat tiga pembedahan ke atasnya memandangkan kaki dan tangan kanannya patah manakala Suria Iskandar stabil.

"Insya-Allah, dalam dua minggu lagi mereka dijangka pulang selepas selesai rawatan," katanya.

Jenazah Syahirah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 pada jam 10.05 malam tadi.

Berita Harian X