Ahad, 1 Oktober 2017 | 9:05pm

Jenazah Syahirah tiba dari Makassar

SHAH ALAM: Jenazah pelajar Malaysia, Syahirah Amiruddin, yang maut dalam kemalangan di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia selamat tiba di Surau Al Jannah Seksyen 23, di sini.

Jenazah yang tiba pada jam 8.15 malam itu disolatkan dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 dekat sini selepas solat Isyak.

Jenazah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 6 petang tadi, diiringi kedua ibu bapanya, Bahariah Md Shahir dan Amirrudin Rahmat serta ahli keluarganya.


ORANG ramai memberikan penghormatan terakhir keatas jenazah Syahirah Amiruddin di Surau Al Jannah Seksyen 23, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

Syahirah, 22, terbunuh manakala abang dan kakaknya cedera dalam kemalangan di Sulawesi Selatan, Makassar, Indonesia, kelmarin.

Pelajar tahun tiga jurusan perubatan di Universitas Hasanuddin Makassar itu meninggal dunia di lokasi akibat cedera di kepala dan patah tengkuk dalam kemalangan kira-kira jam 4 petang.

Suria Iskandar, 25, dan Syazwani, 28, pula dirawat di Rumah Sakit Umum Pusat (RSUP) Dr Wahidin Sudirohusodo, Makassar. Dua beradik itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Tiga beradik itu yang menaiki dua motosikal, berlanggar dengan kereta ketika dalam perjalanan ke Pantai Tanjung Bira, yang terletak 192 kilometer dari bandar Makassar.


ABANG Allahyarhamah, Suria Azhar mengetuai solat jenazah Syahirah Amiruddin di Surau Al Jannah Seksyen 23, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman
AHLI keluarga serta jemaah surau membacakan tahlil untuk jenazah Syahirah Amiruddin di Surau Al Jannah Seksyen 23, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman
Berita Harian X