Sabtu, 30 September 2017 | 5:32pm
TIGA beradik yang terbabit kemalangan di Makassar, petang semalam. Allahyarham Syahirah Amiruddin (kanan), Syazwani Amiruddin (tengah) dan Iskandar Amiruddin (kiri). - Foto Facebook Syazwani Amiruddin
TIGA beradik yang terbabit kemalangan di Makassar, petang semalam. Allahyarham Syahirah Amiruddin (kanan), Syazwani Amiruddin (tengah) dan Iskandar Amiruddin (kiri). - Foto Facebook Syazwani Amiruddin

Pelajar Malaysia maut di Makassar akan dibawa pulang

KUALA LUMPUR: Jenazah pelajar tahun tiga jurusan perubatan Universitas Hasanuddin, Makassar yang maut dalam nahas di Sulawesi Selatan itu, akan dibawa pulang untuk dikebumikan di tanah air.

Kakak Allahyarham, Suhaila Amiruddin, 36, berkata keluarga merancang membawa pulang jenazah Syahirah, 22, namun belum pasti bila.

"Buat masa ini, kami hanya menunggu pengesahan bapa saya, Amirrudin Rahmat dan ibu, Bahariah Mohd Shahir serta abang sulung, Suria Kencana yang baru tiba di Makassar.

 

"Mereka belum dapat melihat jenazah serta keadaan dua lagi adik saya, Suria Iskandar dan Syazwani yang dirawat di hospital," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

 

Mengenai keadaan terkini Suria Iskandar, 25, dan Syazwani, 28, Suhaila berkata, pembedahan Syazwani berjalan lancar dan berada dalam keadaan stabil.

 

"Alhamdulillah, pembedahan berjalan baik, tetapi Syazwani belum sedarkan diri. Suria Iskandar pula beransur pulih dan sudah boleh bercakap," katanya.

 

Syahirah, 22, menunggang motosikal dengan Syazwani membonceng, manakala Suria Iskandar menunggang sebuah lagi motosikal ketika kejadian berkenaan.

Mereka dilaporkan dalam perjalanan ke Pantai Tanjung Bira yang terletak kira-kira 192 kilometer (km) dari kota Makasar apabila terbabit nahas kira-kira jam 4 petang waktu tempatan itu.

 

Motosikal mereka dipercayai dirempuh sebuah kereta di Desa Carima, daerah Bone yang terletak kira-kira 130km dari Kota Makassar di Sulawesi Selatan.

 

Syazwani dan Suria Iskandar berada di Makassar untuk melawat Syahirah.

 

Berita Harian X