Khamis, 28 September 2017 | 8:54pm
ANGGOTA APM membantu penduduk yang terjejas akibat banjir di Kota Belud susulan hujan lebat petang tadi. - Foto Ihsan APM Sabah

7 kampung di Kota Belud terjejas banjir

KOTA BELUD: Hujan lebat sejak petang tadi mengakibatkan tujuh kampung di daerah ini dilanda banjir kilat, menjejaskan ratusan penduduk.

Kampung berkenaan ialah Siasai Tamu, Bobot, Ejuk, Kota Belud, Menunggui, Linau dan Gunding.

Dua jalan terputus hubungan akibat dinaiki air dan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan iaitu Jalan Kampung Bobot dan Jalan Siasai Tamu.

Setakat jam 8 malam tadi empat penduduk sudah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Tun Said yang dibuka sebentar tadi.

Pemangku Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Lt Kol Mohd Izaimi Md Daud, ketika dihubungi berkata, pemantauan dijalankan oleh anggota APM Kota Belud mulai jam 4.30 petang tadi.

Katanya, anggota APM turut membantu memindahkan penduduk yang terjejas ke lokasi lebih selamat, selain membantu mengalihkan barangan milik mangsa ke tempat tinggi.

"Anggota APM juga melakukan pemantauan secara berkala di lokasi yang terjejas banjir," katanya.

ANGGOTA APM membantu penduduk yang terjejas akibat banjir di Kota Belud susulan hujan lebat petang tadi. - Foto Ihsan APM Sabah

Berita Harian X