Selasa, 26 September 2017 | 4:55pm
M Chandra (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian barang yang dirampas daripada Geng Botak. - Foto PDRM
SEBAHAGIAN barang yang dirampas daripada Geng Botak. - Foto PDRM

Geng Botak tumpas

KOTA KINABALU: Polis menumpaskan kumpulan sindiket samun dan pemerasan yang dikenali sebagai Geng Botak menerusi lapan siri serbuan di antara 18 hingga 21 September lalu.

Dalam serbuan selama empat hari itu, seramai sembilan lelaki berusia antara 17 tahun dan 42 tahun, termasuk lima warga asing yang dipercayai ahli kumpulan terbabit ditahan di beberapa lokasi berasingan sekitar bandar raya, termasuk di Kampung Air, Asia City, 1Borneo dan Menggatal.

Difahamkan, sindiket itu terbabit dalam 19 kes samun, termasuk 10 kes samun berkumpulan tanpa senjata dan dua kes pemerasan bagi tempoh Julai hingga September tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata sembilan lelaki yang juga dipercayai ahli kumpulan itu ditahan dalam Ops Samun, yang dibuat oleh pasukan petugas khas samun Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

"Ahli kumpulan itu ditahan di beberapa lokasi berasingan sekitar bandar raya. Pemeriksaan air kencing terhadap semua suspek mendapati tujuh daripada sembilan suspek ini positif dadah selain mempunyai rekod jenayah lampau.


M Chandra (tiga dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas daripada lelaki yang di tepi jalan Kampung Cenderamata, Likas. - Foto PDRM

"Kita turut merampas sebuah kenderaan jenis PERODUA Viva berwarna putih berserta alat kawalan jauh dipercayai digunakan bagi tujuan jenayah, 13 telefon bimbit pelbagai jenama dan dua bentuk cincin emas dengan anggaran keseluruhan bernilai RM35,000," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Chandra berkata, Ops samun dibuat susulan kegiatan samun yang kerap berlaku di sekitar bandar raya sejak akhir-akhir ini.

"Kita memandang serius kejadian samun dan pemerasan yang berlaku di seluruh kawasan bandar raya ini kerana tidak mahu penduduk tempatan atau pelancong asing berasa gusar apabila berada di luar kediaman atau tempat penginapan masing-masing," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, polis menahan seorang lelaki warga Filipina berusia 21 tahun bersama satu paket plastik lutsinar disyaki syabu bernilai RM5,000.

Katanya, lelaki itu ditahan di tepi jalan Kampung Cenderamata, Likas ketika anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) melakukan pemantauan di kawasan berkenaan pada 24 September lalu.

"Suspek dilihat berada dalam keadaan mencurigakan dan apabila didekati anggota polis, lelaki berkenaan bertindak agresif selain cuba melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan fizikal ke atas suspek, kita menjumpai satu bungkusan keropok makanan ringan pada genggaman tangan kanan lelaki berkenaan, yang mengandungi satu paket lut sinar berisi hablur jernih dipercayai syabu seberat 50.5 gram.

"Ujian air kencing juga menunjukkan suspek positif dadah," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X