Selasa, 19 September 2017 | 2:56pm

Lelaki cabul remaja OKU bawah umur didakwa

SIBU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Sibu di sini hari ini kerana melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja perempuan yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia 17 tahun, awal bulan ini.

Tertuduh, Law Swee Kuong, 53, didakwa melakukan dua kesalahan dalam satu kejadian di sebuah kompleks sukan di Jalan Stadium, di sini, antara jam 9:30 hingga 11 pagi, 7 September lalu.

Bagi kesalahan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017, menyentuh mulut, dada dan kemaluan mangsa dengan tujuan seksual.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Bagi tuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(c) akta sama, melakukan aktiviti seksual dengan melakukan onani di hadapan mangsa.

Dia boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Zulfadhli Tuah di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah, Rommie Ahmad Zaidi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh mengaku tidak bersalah sebelum Rommie menetapkan esok untuk sebutan semula kes.

Menurut kenyataan polis, mangsa yang tidak bersekolah berseorangan di rumahnya di sebuah kampung, di sini apabila suspek datang menjemputnya dengan motosikal sekitar jam 10.30 pagi.

Suspek kemudian membawa mangsa ke kompleks sukan berkenaan sebelum mencabul kehormatan remaja itu.

Lelaki terbabit menghantar mangsa pulang ke rumah selepas itu sebelum kejadian terbongkar apabila mangsa menceritakan kepada ibunya yang kemudian membuat laporan polis.

SUSPEK cabul (kanan) diiringi anggota polis untuk pertuduhan di Mahkamah Sesyen Sibu. - Foto Harun Yahya
SUSPEK cabul (kanan) diiringi anggota polis untuk pertuduhan di Mahkamah Sesyen Sibu. - Foto Harun Yahya
Berita Harian X