Sabtu, 16 September 2017 | 7:49pm

46 orang dicekup JAWI

KUALA LUMPUR: Seramai 46 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam dua operasi cegah jenayah syariah dilakukan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di ibu negara dan Putrajaya, malam tadi. 

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasaan JAWI, Mohd Ansarullah Mohd Hashim, berkata seramai 24 wanita dan enam lelaki tempatan antara yang ditahan di ibu negara ketika serbuan dijalankan di salah sebuah pusat hiburan di Jalan P Ramlee, di sini.

Katanya, mereka yang ditahan akan dikenakan tindakan mengikut kesalahan masing-masing, termasuk minum minuman yang memabukkan, menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama serta penyubahatan melakukan jenayah syariah (bekerja sebagai GRO).

"Jika sabit kesalahan, tindakan di bawah seksyen 19 (1), seksyen 9, dan seksyen 43, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) boleh dikenakan ke atas mereka," katanya dalam kenyataan.

Sementara, dalam operasi di Putrajaya, seramai masing-masing lapan wanita dan lelaki ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi termasuk Pusat Karaoke Alamanda, Homestay Kondominium Duta Putra, Taman Air, Jambatan Wawasan serta Dataran Millenium.

"Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan berlainan termasuk Seksyen 19 (1) Minuman yang memabukkan, Seksyen 27 (Khalwat) serta Seksyen 29 (Perbuatan tidak sopan di tempat awam) Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997," katanya.

Beliau berkata, operasi bersepadu bermula jam 12.00 tengah malam hingga 3.00 pagi itu diadakan dengan kerjasama pelbagai agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Perbadanan Putrajaya.

Berita Harian X