Sabtu, 16 September 2017 | 2:29pm
JENAZAH mangsa kebakaran kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves. - Foto Asyraf Hamzah
JENAZAH mangsa kebakaran kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves. - Foto Asyraf Hamzah

Lapan minit uruskan setiap jenazah

KUALA LUMPUR: Pasukan pengurusan jenazah mengambil masa selama tiga jam 15 minit untuk menguruskan semua 23 jenazah mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, semalam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Abdul Aziz Jusoh, berkata pasukan pengurusan jenazah yang diketuai JAWI itu secara secara purata mengambil masa hampir lapan minit untuk setiap jenazah.

Katanya, pengurusan jenazah itu adalah hasil kerjasama berpasukan serta sokongan padu semua pihak, termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan, yang membantu melancarkan urusan pengurusan jenazah.

"Secara keseluruhan, semua mangsa di Lembah Klang termasuk di Seremban, dikebumikan sebelum jam 10 malam.

"Jenazah yang dikebumikan di Pengkalan Kubor, Kelantan pula dikebumikan jam 3 pagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pihaknya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh pihak yang terbabit sama ada secara langsung atau tidak dalam membantu menguruskan semua jenazah ini.

"Agensi lain yang turut serta ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kor Agama Angkatan Tentra (KAGAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Pihak JAWI juga mendoakan supaya semua anggota keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian Allah ini," katanya.

Berita Harian X