SUNGKAI: Jenazah pengajar yang maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat Kuala Lumpur, Mohd Yusuf Md, 26, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Gunung Besout 4 pada jam 9.45 malam tadi.
Terdahulu, jenazah Mohd Yusuf bersama 22 jenazah lain disembahyangkan di Surau Kuarters Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum dibawa ke Masjid Assalamuddin Felda Gunung Besout 4 di sini untuk disolatkan kali kedua pada jam 8.50 malam selepas solat Isyak.
Hujan lebat berterusan sejak petang tadi mulai berhenti sebaik van jenazah tiba di pekarangan masjid berkenaan.
Kira-kira 300 ahli keluarga dan penduduk kampung menghadiri upacara solat jenazah dan urusan pengebumian Allahyarham Mohd Yusuf.
Suasana hening menyelubungi upacara pengebumian Allahyarham Mohd Yusuf dan ahli keluarganya dilihat tenang sehingga pembacaan talkin selesai dibacakan abang ipar Allahyarham, Khairul Fahmi Daud.
Mohd Yusuf antara 23 mangsa yang terkorban dalam tragedi kebakaran di pusat tahfiz Datuk Keramat, Kuala Lumpur semalam.
Allahyarham yang masih belum berkahwin mendalami ilmu agama di pusat tahfiz berkenaan sejak usia 15 tahun sebelum menjadi tenaga pengajar di situ.