Jumaat, 15 September 2017 | 8:38pm
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengimamkan 5 jenazah daripada 23 Jenazah di Surau Madrasah Islamiah Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah Kampung Datuk Keramat Kualal Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengimamkan 5 jenazah daripada 23 Jenazah di Surau Madrasah Islamiah Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah Kampung Datuk Keramat Kualal Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq

Keputusan DNA kurang 24 jam

KUALA LUMPUR: Semua keputusan Asid Deosiribonukleik (DNA) bagi mengenalpasti 23 identiti mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah berjaya diperoleh tidak kurang daripada 24 jam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi, berkata ia adalah hasil kerjasama yang dijalankan antara agensi membabitkan Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

"Ini adalah kali pertama dalam sejarah keputusan DNA berjaya diselesaikan dalam masa singkat."Dengan kerjasama erat ini, Alhamdulillah proses penyelenggaraan jenazah dapat diuruskan dengan cepat. Allah mempermudahkan urusan kita mengenalpasti semua jenazah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengimamkan solat jenazah lima jenazah terakhir di Surau Kuarters HKL, di sini, sebentar tadi.

Menurut beliau, keputusan DNA berjaya diperoleh Unit Forensik HKL pada jam 11.30 pagi sebelum jenazah pertama dibawa keluar pada jam 3.40 petang.

"Jenazah terakhir dikeluarkan dari Unit Forensik pada jam 6 petang dan semua jenazah disolatkan di Surau Kuarters HKL.

"Semua jenazah kemudian dibawa ke 11 lokasi tanah perkuburan berbeza mengikut kehendak waris masing-masing," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, prinsip menguruskan jenazah adalah ia diurus dan disempurnakan dengan segera sehingga dikebumikan.

"Ada waris yang minta supaya jenazah dipindahkan di lokasi tertentu yang berhampiran dengan lokaliti yang ditetapkan," katanya.

Berita Harian X