KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan bekerjasama membantu keluarga mangsa tragedi
kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, di sini pagi tadi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beliau sudah berbincang dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berhubung perkara itu hari ini.
Beliau berkata hasil perbincangan bersama Asyraf, kerajaan negeri melalui JAIS dan JAWI sedia beri bantuan serta sokongan moral kepada keluarga mangsa.
"Antara bantuan segera adalah menyediakan kenderaan membawa pulang jenazah ke kampung masing-masing atau kemudahan untuk mengebumikan ramai jenazah dalam satu liang.
"Kami juga akan menyediakan kaunselor bagi memulihkan semangat keluarga mangsa dan apa-apa bantuan yang diperlukan.
"Bagi kerajaan negeri Selangor kami merakam ucapan takziah kepada mangsa, pelajar, pendidik pusat tahfiz," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Turut hadir bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.