Ahad, 10 September 2017 | 5:58pm
UNIT Penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menemui mangsa lemas di pantai Bagan Lalang, Sepang. - Foto Ihsan Bomba.
UNIT Penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menemui mangsa lemas di pantai Bagan Lalang, Sepang. - Foto Ihsan Bomba.

Mayat pelajar lemas ditemui

BANTING: Mayat pelajar Sekolah Menengah Agama Haji Muhamad, Bahau, Negeri Sembilan, Muhammad Farham Zailani, 15, yang lemas di pantai Bagan Lalang, dekat sini, petang semalam, ditemui petang ini.

Ketua Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, berkata mayat mangsa tersangkut pada pokok bakau pada kedalaman enam meter oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 4.38 petang.

"Mayat berjaya ditarik keluar dan dibawa ke tebing pada jam 4.45 petang dan diserahkan kepada polis untuk urusan selanjutnya pada jam 4.55 petang.

"Jarak tempat mayat mangsa dijumpai dan lokasi mangsa dilaporkan hilang kira-kira 200 meter. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk proses besah siasat," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Mangsa dilaporkan lemas pada jam 5.20 petang semalam. Dia mengikuti rombongan sekolah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superitenden Baharuddin Mat Taib, ketika dihubungi BH mengesahkan penemuan mayat mangsa.

"Mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga," katanya.

Berita Harian X