Sabtu, 9 September 2017 | 2:02pm
APMM merampas 50 tong LPG yang duba diseludup ke Indonesia melalui perairan Tawau di Sungai Melayu, Sebatik. Foto ihsan APMM. - Foto ihsan APMM
APMM merampas 50 tong LPG yang duba diseludup ke Indonesia melalui perairan Tawau di Sungai Melayu, Sebatik. Foto ihsan APMM. - Foto ihsan APMM

Masuk cara haram seludup LPG

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 18 Tawau merampas 50 tong gas petroleum cecair (LPG) yang cuba diseludup ke negara jiran melalui perairan daerah ini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, seorang juragan warga Indonesia berumur 20 tahun ditahan selepas kelihatan mencurigakan ketika mengemudi sebuah bot jongkong menuju ke Sungai Nyamuk, Indonesia dari perairan Sungai Melayu, Sebatik, di sini.

Pengarah Maritim Daerah Tawau, Kapten Maritim Romli Mustafa, dalam kenyataannya hari ini, berkata kru bot ronda APMM DM18 menahan bot terbabit untuk pemeriksaan sebelum mendapati ia sarat dengan muatan tong LPG.

"Pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikemudi seorang juragan lelaki warga Indonesia berumur 20 tahun dan dia gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diperiksa oleh anggota APMM.

"Bot jongkong berkenaan sarat membawa 50 tong gas LPG yang disyaki cuba diseludup keluar dari daerah ini tanpa sebarang permit yang sah," katanya.

Katanya, juragan terbabit ditahan untuk siasatan lanjut, manakala bot dan semua barang rampasan dianggarkan bernilai RM25,000 dibawa ke Jeti APMM DM18 Tawau untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Sebarang maklumat berkaitan pencabulan undang-undang dan kejadian kecemasan di laut boleh dilaporkan dengan menghubungi terus talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim DM 18 Tawau di talian 089-752115," katanya

Berita Harian X