Sabtu, 2 September 2017 | 2:43pm
LOKASI penemuan mayat bayi perempuan dalam tangki tandas stesen minyak di Jalan Kaki Bukit.
LOKASI penemuan mayat bayi perempuan dalam tangki tandas stesen minyak di Jalan Kaki Bukit.

Buang bayi dalam tangki tandas, wanita ditahan

KANGAR: Polis menahan seorang wanita berusia 22 tahun bagi membantu siasatan penemuan mayat bayi perempuan dalam tangki tandas stesen minyak di Jalan Kaki Bukit.

Suspek yang dipercayai ibu kepada bayi berkenaan ditahan di rumahnya di Beseri, di sini, pada jam 2 petang, semalam kira-kira tujuh jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew, berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh pihaknya dapat mengenal pasti identiti suspek.

"Siasatan awal mendapati mangsa ke lokasi kejadian menggunakan sebuah kereta. Berdasarkan rakaman CCTV kita dapat menjejaki suspek.

"Suspek memberi kerjasama yang baik ketika dia ditahan. Kita juga merampas sehelai baju-T, seluar, seluar dalam dan tudung yang dipercayai dipakai pada waktu kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kiew berkata, suspek bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan polis selepas siasatan dibuat kerana suspek perlu mendapat rawatan perubatan kerana bersalin.

BH sebelum ini melaporkan, mayat bayi perempuan ditemui disumbat di dalam tangki tandas lelaki di stesen minyak di Jalan Kaki Bukit, di sini sekitar jam 6.40 pagi.

Berdasarkan keadaan bayi berkenaan, polis percaya bayi berkenaan baru dilahirkan kerana masih mempunyai tali pusat.

Kiew berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana membabitkan kejadian mematikan bayi yang baru dilahirkan.

Berita Harian X