KUDAT: Dua kru kapal maut manakala tiga cedera termasuk kanak-kanak berumur 10 tahun, selepas kapal kargo membawa petrol terbakar di perairan Kampung Padang, Pulau Banggi, Kudat, jam 7 malam tadi.
Jafar Janidil, 61, dan Sahlan Ashadan, 27, disahkan meninggal dunia akibat melecur.
Tiga lagi penumpang kapal iaitu Azmain Nawali, 45; dan dua anak Jafar iaitu Mohd Kamarudin, 26, serta Mohd Nasaruddin, 10, dibawa ke Hospital Kudat untuk rawatan kerana melecur.
Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata kapal kargo yang membawa 10,000 liter petrol terbakar dan meletup di kawasan 0.3 batu nautika barat perairan Pulau Banggi.
"Kapal itu berlabuh di perairan Kampung Padang untuk memindahkan minyak ke pulau berkenaan dari Kudat.
"Bagaimanapun, ketika proses pemindahan, letupan kuat berlaku," katanya dalam kenyataa di sini, hari ini.
Beliau berkata, sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat bergegas ke lokasi kejadian untuk bantuan kecemasan.
"Semua kru dan penumpang kapal adalah rakyat tempatan," katanya.