Rabu, 23 Ogos 2017 | 11:11pm
ZULKIFILI Abu Bakar
ZULKIFILI Abu Bakar

SAR kelasi kapal perang AS diteruskan

KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) 10 kelasi kapal perang Amerika Syarikat (AS), USS John S McCain, yang dilaporkan hilang awal pagi Isnin lalu diteruskan tanpa ditangguh.

 

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar, berkata hari ketiga operasi SAR dilaksanakan dengan pembabitan APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Laut Malaysia.

 

"Kawasan pencarian pula telah diperluaskan kepada 400 batu nautika persegi di sektor laut manakala 550 batu nautika persegi untuk sektor udara.

 

"Turut menyertai operasi SAR pada hari ini adalah pesawat dari Australia, PC3 Orion yang sudah mendapat kelulusan kelulusan pihak berkuasa Malaysia untuk terbang dalam sektor pencarian udara Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Zulkifli berkata, hingga jam 4 petang tadi, aset daripada semua agensi terbabit masih dikekalkan dengan KM Mulia menjadi penyelaras operasi di laut sementara pesawat AW 139 menyelaras pergerakan untuk sektor udara.

 

"Selain itu, TLDM dengan KD Lekiu, KD Handalan, KD Gempita dan pesawat Super Lnyx, Tentera Darat dengan helikopter Agusta AW 109, tiga buah bot daripada PPM serta dua bot milik Jabatan Laut Malaysia.

 

"Keadaan cuaca di lokasi SAR adalah cerah dengan tiupan angin selaju 10 hingga 20 kilometer sejam serta ketinggian ombak mencecah 0.5 hingga 1.0 meter tinggi dengan jarak penglihatan hingga 10 batu nautika.

 

"APMM bersama agensi SAR lain akan terus memberikan komitmen tinggi bagi memastikan operasi SAR ini berjalan dengan sempurna," katanya.

 

Dalam kejadian 5.30 pagi Isnin, USS John S McCain yang dalam perjalanan ke Singapura berlanggar dengan kapal dagang berdaftar di Liberia, MV Alnic MC di 4.5 batu nautika perairan Teluk Ramunia, Tompok Utara di Johor.

 

Perlanggaran telah mengakibatkan 10 kelasi kapal hilang manakala lima lagi cedera.

 

Petang semalam, satu mayat telah ditemui oleh kapal KD Handalan milik TLDM, di sektor keempat kawasan pencarian iaitu empat batu nautika timur Tanjung Penawar, dalam perairan Malaysia.

 

Beberapa mayat lain juga dikatakan ditemui oleh pasukan SAR dalam bahagian kapal itu yang dimasuki air.

 

Jarak penemuan lokasi mayat adalah 7.5 batu nautika barat laut dari lokasi pelanggaran.

Berita Harian X