Rabu, 23 Ogos 2017 | 2:51pm
BANK Negara Malaysia.. - Foto Asyraf Hamzah
BANK Negara Malaysia.. - Foto Asyraf Hamzah

BNM lumpuhkan kegiatan pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) melumpuhkan kegiatan pengubahan wang haram dalam serbuan di lima premis di Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Dalam operasi sama, empat pendatang asing tanpa izin yang bekerja di premis terbabit ditahan oleh Jabatan Imigresen.

Serbuan pada 17 Ogos lalu membabitkan siasatan mengikut Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA)

Bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, serbuan itu dilakukan ke atas sebuah premis syarikat di Lumut dan Sitiawan; sebuah di sebuah pusat beli belah di Senawang dan dua premis masing-masing di Kuantan dan Muadzam Shah.

"Semua dokumen berkaitan siasatan, wang tunai dan mata wang asing dirampas ketika operasi.

"Mana-mana orang atau syarikat yang menjalankan aktiviti perniagaan perkhidmatan wang, seperti aktiviti pengurupan dan pengiriman wang tanpa lesen, melakukan suatu kesalahan mengikut seksyen 4(1) MSBA dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan mengikut seksyen 4(1) AMLATFA, individu yang disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai perolehan aktiviti atau instrumen yang menyalahi undang-undang pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi," kata kenyataan itu.

Susulan itu, Bank Negara menasihatkan orang awam untuk tidak membuat apa-apa urusan pengurupan atau pengiriman wang dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram.

Katanya, individu yang berurusan dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram adalah melakukannya dengan risiko akan mengalami kerugian kewangan akibat dana dilarikan oleh pesalah atau aset dirampas oleh pihak berkuasa.

"Tindakan penguatkuasaan juga boleh dikenakan ke atas mereka oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

"Orang ramai juga dinasihati untuk hanya berurusan dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang berlesen, yang boleh dikenal pasti melalui logo rasmi Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB) yang dipamerkan di kaunter," katanya.

Senarai pengendali perniagaan perkhidmatan wang berlesen juga disediakan di laman sesawang Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my.

Operasi berkenaan adalah antara langkah berterusan BNM untuk membanteras kegiatan pertukaran wang dan kiriman wang haram di negara ini.

Berita Harian X