Selasa, 22 Ogos 2017 | 9:59am
MISI mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan 10 kelasi kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS), USS John S McCain yang hilang diteruskan hari ini.- Foto Ihsan TLDM
MISI mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan 10 kelasi kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS), USS John S McCain yang hilang diteruskan hari ini.- Foto Ihsan TLDM

SAR 10 anak kapal perang AS diteruskan

KUALA LUMPUR: Misi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan 10 kelasi kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS), USS John S McCain yang hilang diteruskan hari ini.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata lebih banyak aset akan digerakkan dalam operasi yang bermula jam 7.30 pagi tadi.

"Aset TLDM yang digerakkan untuk operasi SAR ialah Kapal Diraja (KD) Handalan, KD Gempita, KD Lekiu, CB90 dan sebuah helikopter Super Lynx.

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meneruskan operasi dengan aset mereka seperti kapal KM Mulia dan dua bot, Petir 12 serta Panggalang 39 dari Wilayah Maritim Selatan.

"Selain itu, Tentera Darat menghantar 2 buah helikopter Agusta dan masing-masing 3 buah bot daripada Polis Marin dan Jabatan Laut Malaysia," katanya ketika dihubungi BH.

Ahmad Kamarulzaman berkata, operasi SAR turut disertai oleh nelayan tempatan daripada kawasan pesisiran pantai Johor.

"Sejak semalam, saya gembira dan bangga ramai nelayan kita telah turut sama membantu usaha mengesan 10 kelasi kapal AS terbabit.

"Berdasarkan kepada pergerakan arus, ada kemungkinan mereka dibawa arus ke kawasan pinggir pantai, justeru pembabitan nelayan tempatan amat penting.

"Kita sudah letakkan bilik kawalan yang mengendalikan aduan daripada aplikasi mudah alih, K3M dalam keadaan siap sedia.

"Nelayan yang mempunyai sebarang maklumat boleh maklumkan kita melalui aplikasi berkenaan," katanya.

Dalam kejadian 5.30 pagi semalam, USS John S McCain yang dalam perjalanan ke Singapura berlanggar dengan kapal dagang berdaftar di Liberia, MV Alnic MC pada kedudukan 4.5 batu nautika perairan Teluk Ramunia, Tompok Utara di Johor.

Perlanggaran ini turut mengakibatkan 10 kelasi hilang manakala lima lagi cedera.

Berita Harian X