Isnin, 21 Ogos 2017 | 5:45pm
ZULKIFLI pada sidang media mengenai lokasi pelanggaran kapal USS John McCain dengan kapal dagang MV Alnic MC, di Putrajaya, hari ini. - Foto Abd Rahim Rahmat
ZULKIFLI pada sidang media mengenai lokasi pelanggaran kapal USS John McCain dengan kapal dagang MV Alnic MC, di Putrajaya, hari ini. - Foto Abd Rahim Rahmat
LOKASI pelanggaran kapal USS John McCain dengan kapal dagang MV Alnic MC. - Foto Abd Rahim Rahmat
LOKASI pelanggaran kapal USS John McCain dengan kapal dagang MV Alnic MC. - Foto Abd Rahim Rahmat
- Foto Twitter @mykamarul
- Foto Twitter @mykamarul

SAR 10 anak kapal perang AS tumpu 4 bahagian perairan

PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) 10 anak kapal USS John McCain yang dilaporkan terjatuh ke dalam laut selepas berlanggar dengan kapal dagang MV Alnic MC.

Kapal perang milik Amerika Syarikat itu dalam perjalanan ke Singapura apabila berlanggar dengan kapal dagang berdaftar di Liberia di 4.5 batu nautika perairan Teluk Ramunia, Tompok Utara di Johor sekitar jam 5.30 pagi tadi.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar, berkata USS John McCain memaklumkan kejadian itu kepada kapal KD Handalan milik Malaysia pada jam 8 pagi dan operasi SAR yang bermula jam setengah jam kemudian masih berterusan.

"Perlanggaran ini turut mengakibatkan lima anak kapal USS John McCain cedera dan mendapat rawatan di Singapura. Pencarian 10 anak kapal yang hilang tertumpu ke kawasan seluas 100 batu nautika persegi dari lokasi kejadian.

"Maritim Malaysia sudah menggerakkan kapal KM Mulia dan dua bot, Petir 12 serta Panggalang 39 dari Wilayah Maritim Selatan ke lokasi kejadian bagi operasi SAR anak kapal yang hilang.

"Kawasan pencarian dibahagikan kepada empat, masing-masing seluas 25 batu nautika persegi dan setakat ini, kita tidak tahu apa punca pelanggaran," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Tan Kok Kwee dan Pengarah Cawangan Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Mohd Sabri Mohammad.

Operasi SAR turut disertai agensi maritim lain termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin dan Jabatan Laut.

Singapura menggerakkan asetnya iaitu RSS Gallant, RSS Resilience dari Tentera Laut Singapura selain Basking Shark dari Polis Pengawal Pantai Singapura.

Tentera Laut Indonesia pula menghantar dua aset iaitu KRI Parang dan KRI Cucuk, manakala sebuah helikopter dari USS John McCain turut menyertai misi SAR.

Kapal USS John McCain kini dilaporkan berada di Sembawang, Singapura untuk kerja baik pulih kerana mengalami kerosakan di sebelah lambung kiri kapal.

Mengenai laporan akhbar asing mendakwa kejadian itu di kawasan perairan Singapura, Zulkifli berkata, tiada bukti menjurus ke arah itu tetapi Malaysia ada alasan kukuh mengatakan ia berlaku di perairan negara.

Terdahulu pada Khamis lalu, Maritim Malaysia menghantar pesawat Bombardier CL 415 dan Bot Petir 12 bersama empat kapal kontraktor Jabatan Laut untuk melakukan operasi SAR dua kapal, Chemroad Mega dan Sinica Graeca yang berlanggar, juga di perairan Tompok Utara, Teluk Ramunia, Johor.

Lokasi itu berhampiran perlanggaran kapal USS John McCain dan kapal MV Alnic MC, dengan keadaan laut agak bergelora selain kedudukan berhampiran Selat Melaka.

Ia laluan kapal yang agak sibuk dengan purata 80,000 kapal melaluinya setahun.

Berita Harian X