Khamis, 10 Ogos 2017 | 2:53pm
L Ganis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan, hari ini, atas tuduhan menculik dan menyembunyikan pasangan suami isteri membabitkan kes memperdagangkan orang dan penyeludupan migran pada Mac lalu.
L Ganis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan, hari ini, atas tuduhan menculik dan menyembunyikan pasangan suami isteri membabitkan kes memperdagangkan orang dan penyeludupan migran pada Mac lalu.

Pengurus ladang dituduh culik, sembunyi suami isteri

TELUK INTAN: Seorang pengurus ladang didakwa di Mahkamah Sesyen Teluk Intan di sini, hari ini, atas tuduhan menculik dan menyembunyikan pasangan suami isteri membabitkan kes memperdagangkan orang dan penyeludupan migran pada Mac lalu.

Tertuduh, L Ganis, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Ganis didakwa menculik P Sundaram, 37, dan K Shanti, 41, di hadapan Kedai Runcit Sri Vathi, Pengkalan Hulu, antara jam 3 hingga 4 petang pada hujung Mac lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

Ganis turut didakwa menghantar pasangan berkenaan ke sebuah rumah kongsi di Ladang Kalvi Felda Bukit Besout 1, Sungkai, pada masa dan tarikh sama untuk disembunyikan dari memberi keterangan terhadap tertuduh bagi kesalahan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tiga tahun penjara dan denda.

Norita kemudian menetapkan kes disebut semula pada 11 September ini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Suffian Jaafar manakala tertuduh diwakili peguam S Muthuveeran.

Pada 24 Mac lalu, Ganis didakwa di mahkamah di Kuala Kangsar atas 15 pertuduhan memperdagangkan manusia.

Dia didakwa memperdagangkan 15 individu, termasuk dua remaja lelaki bagi maksud eksploitasi buruh paksa dengan cara ancaman dan kekerasan, dari April 2016 hingga Februari 2017 di Ladang Koperasi Kelapa Sawit Sdn Bhd, Kampung Tasek, Pengkalan Hulu, membabitkan mangsa antara 13 hingga 66 tahun.

Berita Harian X