Isnin, 7 Ogos 2017 | 7:18pm
M Chandra (kiri) melihat tiga kenderaan yang dirampas daripada kumpulan penjenayah Geng Abon. - Foto Ihsan IPD Kota Kinabalu
M Chandra (kiri) melihat tiga kenderaan yang dirampas daripada kumpulan penjenayah Geng Abon. - Foto Ihsan IPD Kota Kinabalu

Polis KK tumpaskan Geng Abon

KOTA KINABALU: Polis bandar raya ini menumpaskan kumpulan penjenayah dikenali 'Geng Abon' yang aktif melakukan kegiatan pecah kereta sejak Jun lalu, susulan penahanan empat anggotanya, baru-baru ini.

Semua suspek lelaki warga tempatan berumur 23 hingga 37 tahun itu ditahan oleh sepasukan  pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu dalam serbuan berasingan di Tuaran pada 2 hingga 4 Ogos lalu.

Mereka ditahan berikutan polis berjaya mengenal pasti anggota kumpulan terbabit selepas wajah mereka dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) ketika memecah sebuah kenderaan jenis BMW X6 membabitkan kerugian RM7,000 di Plaza Juta, Likas pada 23 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata susulan penahanan semua suspek, polis merampas tiga kenderaan yang dipercayai digunakan mereka ketika melakukan kegiatan jenayah itu.

Katanya, tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, selain didapati positif dadah.

"Berdasarkan siasatan, mereka disyaki terbabit dalam empat kes pecah kereta sekitar daerah ini antara Jun hingga Julai lalu membabitkan kerugian keseluruhan dianggarkan RM25,000," katanya kepada media di sini, sebentar tadi.

Chandra berkata, kumpulan penjenayah terbabit menggunakan modus operandi dengan memilih kenderaan secara rawak, iaitu yang dikesan mempunyai beg atau barangan bernilai ditinggalkan dalam kereta, terutama di tempat mudah dilihat seperti tempat duduk.

"Sebelum cermin kenderaan dipecahkan, seorang daripada suspek akan mengumpil cermin terlebih dahulu menggunakan pemutar skru untuk meretakkan dan kemudian menggunakan tangan bagi memecahkannya.

"Apabila berjaya, suspek mengambil beg atau barangan berharga dan terus melarikan diri menggunakan kenderaan lain," katanya sambil menambah polis sedang giat mengesan seorang lagi anggota kumpulan berkenaan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Berita Harian X