Isnin, 7 Ogos 2017 | 3:11pm

Penuntut Yaman langgar peragut bebas reman

SERDANG: Penuntut warga Yaman mangsa kes ragut yang kemudian mengejar dan melanggar peragutnya sehingga mati, sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

 

Pemangku Ketua Polis Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud, berkata suspek yang ditahan reman tujuh hari memberikan kerjasama baik sepanjang tempoh siasatan.

 

"Kita berpuas hati dengan siasatan dan kerjasama yang diberikan suspek, maka kita bebaskan suspek dengan jaminan polis pada Rabu lalu.

 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan. Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

 

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, 30 Julai lalu, mangsa yang juga penuntut universiti di Bangi, diragut seorang lelaki yang menunggang motosikal ketika dia sedang minum di sebuah restoran mamak di SP2, Serdang Perdana, di sini.

 

Suspek kemudian mengejar peragut itu dengan menaiki sebuah kereta sejauh kira-kira tiga kilometer sebelum melanggar motosikal ditunggang peragut ketika tiba di lampu isyarat belakang Pangsapuri Garden @One South.

 

Akibat perlanggaran itu, peragut berusia 25 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Berita Harian X