Selasa, 1 Ogos 2017 | 3:09pm
Azman Adam (dua kanan) menunjukkan penapis minyak jenama Proton tulen (kiri) dan penapis minyak tiruan (kanan) yang dirampas penguat kuasa KPDNKK Selangor bernilai Rm464,000. - Foto Shazreen Zamzuri
Azman Adam (dua kanan) menunjukkan penapis minyak jenama Proton tulen (kiri) dan penapis minyak tiruan (kanan) yang dirampas penguat kuasa KPDNKK Selangor bernilai Rm464,000. - Foto Shazreen Zamzuri

Kegiatan import penapis minyak tiruan tumpas

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor merampas 46,400 unit penapis minyak tiruan kenderaan bernilai RM464,000.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Azman Adam, berkata rampasan dijalankan berdasarkan maklumat daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang menahan sebuah kontena kerana disyaki menggunakan perihal dagangan palsu.

"Penapis minyak tiruan ini dipercayai untuk pasaran di dalam negara yang diimport.

"Penapis minyak tiruan ini dipercayai dijual pada harga sama dengan produk tulen iaitu sekitar harga RM12 hingga RM15 seunit.

"Kami mengesyaki perbuatan ini didalangi oleh sindiket serta masih mengesan pihak yang bertanggungjawab itu," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Azman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan barangan palsu.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda RM15,000 untuk pertubuhan atau syarikat bagi setiap satu barang atau RM10,000 bagi pesalah individu untuk setiap satu barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu untuk menyalurkan maklumat di laman web KPDNKK iaitu www.kpdnkk.gov.my atau talian 1800-886-800.

Sementara itu, Ketua Syarikat Proton Parts Centre Sdn Bhd, Mohd Zainan Ayob, berkata pengguna diingatkan lebih berhati-hati dan memeriksa terlebih dahulu sebelum menggunakan sebarang alat ganti kenderaan kerana produk tiruan kurang berkualiti selain membahayakan pengguna.

Katanya, pengguna boleh melihat beberapa ciri yang ada pada produk yang dijual bagi menentukan keasliannya.

"Terdapat nombor siri pada badan dan getah atau 'ring' di bahagian bawah penapis jenama Proton ini selain tertera tulisan UMW dan beberapa perbezaan lain," katanya.

Berita Harian X