Khamis, 27 Julai 2017 | 2:46pm

Remaja tak mengaku rogol adik angkat

AYER KEROH: Seorang remaja berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan merogol seorang gadis bawah umur, awal April lalu.

Tertuduh yang berasal dari Ujong Pasir membuat pengakuan itu sejurus tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Norina Maludin.

Dia dituduh merogol adik angkatnya berusia 14 tahun di sebuah hotel, di Taman Melaka Raya, jam 2.15 petang, pada 4 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azri Zakaria menawarkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh yang diwakili peguam M Pusppa.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 24 Ogos ini sebutan semula kes.

Berita Harian X