Ahad, 23 Julai 2017 | 9:35pm
MANGSA, Muhammad Naim dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot dinaiki bersama seorang rakan di kawasan perairan berhampiran Kampung Sungai 2, dekat Alor Janggus. - Foto ihsan keluarga
MANGSA, Muhammad Naim dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot dinaiki bersama seorang rakan di kawasan perairan berhampiran Kampung Sungai 2, dekat Alor Janggus. - Foto ihsan keluarga

Lelaki dikhuatiri lemas, jatuh dari bot

ALOR SETAR: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot dinaiki bersama seorang rakan di kawasan perairan berhampiran Kampung Sungai 2, dekat Alor Janggus, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa, Muhammad Naim Hassan, 21, dari Kampung Seberang Kota, di sini, dilapor hilang sejurus terpelanting sebaik bot dibadai ombak kira-kira jam 10 pagi.

Rakannya, Mohd Nizam Sawai, 31, sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke arah bot, sebelum terus ke pelantar ikan Kuala Kedah, di sini, untuk meminta bantuan.

Rakan mangsa, Shukri Tayib, yang berusia lingkungan 40-an, ketika ditemui berkata, dua rakannya itu dikatakan keluar ke laut pada jam 6.45 pagi tadi untuk menangkap ikan di kawasan kira-kira tiga batu nautika dari pelantar Kuala Kedah, di sini.

"Saya dimaklumkan, mereka (kedua-dua mangsa) terjatuh ke laut selepas bot mereka dibadai ombak, namun hanya Nizam yang sempat menyelamatkan diri.

"Apa yang saya tahu, Nizam ada memaklumkan dia ternampak rakannya itu terkapai-kapai di laut pada jarak kira-kira 100 meter dari bot sebelum terus tenggelam dan hilang," katanya.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar, mengesahkan kejadian itu susulan maklumat diterima pihaknya pada jam 12.40 tengah hari tadi.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikejarkan ke lokasi untuk tujuan mencari dan menyelamat (SAR).

"Sehingga pencarian dihentikan jam 7 malam tadi, mangsa masih belum ditemui. Operasi SAR dijangka disambung semula pagi esok," katanya.

Berita Harian X