Jumaat, 21 Julai 2017 | 9:44pm
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa. - Foto Azhar Ramli
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa. - Foto Azhar Ramli

Hentakan di kepala punca kematian - Polis

KUALA LUMPUR: Polis menemui punca kematian mayat seorang kanak-kanak berusia antara 4 hingga 5 tahun yang ditemui dalam keadaan berbungkus plastik hitam di Kepong, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, berkata pemeriksaan yang dijalankan oleh Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan mangsa maut akibat kesan hentakan di bahagian kepalanya.

"Tempurung kepala mangsa retak disebabkan hentakan objek tumpul, terdapat juga kesan lebam di kedua-dua belah kaki dan tangan, juga dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul.

"Mangsa juga dianggarkan mati sejak 10 hingga 14 hari lalu dan mayat berada dalam keadaan mereput," katanya ketika dihubungi BH.

Rusdi berkata, seorang saksi tampil untuk proses pengecaman namun gagal untuk mengenal pasti akibat keadaan fizikal mangsa.

"Sampel DNA saksi terbabit telah diambil bagi tujuan perbandingan DNA dengan mangsa.

"Siasatan kes ini dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Dalam kejadian jam 3 petang semalam, seorang pekerja syarikat besi buruk menemui satu mayat kanak-kanak yang hampir reput dibungkus dengan plastik hitam di dalam longkang di Jalan Kampung Chin Lee, Batu 6 Jalan Kepong, di sini.

Mayat ditemui ketika dia sedang membersihkan longkang berhampiran sebuah bengkel kereta di situ.

Berita Harian X