Rabu, 19 Julai 2017 | 5:29pm
VAN pekerja rosak teruk dalam kemalangan di Jalan Air Kuning- Batang Melaka, Gemencheh. - Foto ihsan Polis/Bomba
VAN pekerja rosak teruk dalam kemalangan di Jalan Air Kuning- Batang Melaka, Gemencheh. - Foto ihsan Polis/Bomba
ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa kemalangan di Jalan Air Kuning- Batang Melaka, Gemencheh. - Foto ihsan Polis/Bomba
ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa kemalangan di Jalan Air Kuning- Batang Melaka, Gemencheh. - Foto ihsan Polis/Bomba

3 maut MPV bertembung van pekerja

TAMPIN: Seorang ibu dan anak perempuannya adalah antara tiga yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah van pekerja di Kilometer 2.5 Jalan Air Kuning-Batang Melaka, Gemencheh, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, berkata kemalangan berlaku apabila MPV Nissan Serena dari arah Batang Melaka, memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan van Toyota Hiace.

Katanya, MPV itu dinaiki dua wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, manakala van itu dipandu seorang lelaki bersama dua penumpang wanita.

"Pemandu wanita dan anak perempuannya maut di tempat kejadian, manakala pemandu van meninggal dunia selepas tiba di Hospital Tampin akibat kecederaan parah pada kepala dan tubuh," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hamazah berkata, tiga orang lain cedera parah, iaitu seorang penumpang MPV dan dua penumpang van pekerja yang kemudian dihantar ke Hospital Tampin.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Penolong Penguasa Bomba Syed Ammar Syed Abbas, berkata pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada jam 1.55 tengah hari.

"Seramai lapan anggota diketuai Pegawai Bomba L Ravichandran bersama sebuah jentera dihantar dan tiba pada jam 2.30 petang di tempat kejadian.

"Ketika tiba, kami mendapati pemandu Nissan Serena serta pemandu van masih tersepit dan mereka berjaya dikeluarkan dalam tempoh kira-kira 10 minit.

"Empat mangsa lain, iaitu dua orang dalam MPV serta dua penumpang van dikeluarkan lebih awal oleh orang awam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

KEADAAN kenderaan MPV yang remuk dalam kemalangan di Jalan Air Kuning- Batang Melaka, Gemencheh. - Foto ihsan Polis/Bomba
KEADAAN kenderaan MPV yang remuk dalam kemalangan di Jalan Air Kuning- Batang Melaka, Gemencheh. - Foto ihsan Polis/Bomba

Berita Harian X