Jumaat, 14 Julai 2017 | 6:47pm

2 rakan sekelas maut

DUA pelajar Tingkatan Enam Rendah sebuah sekolah menengah di Tampin, maut apabila motosikal yang mereka tunggangi terbabas di Kilometer 1.7 Jalan Air Kuning-Batang Melaka, tengah hari tadi. - Foto ihsan PDRM
DUA pelajar Tingkatan Enam Rendah sebuah sekolah menengah di Tampin, maut apabila motosikal yang mereka tunggangi terbabas di Kilometer 1.7 Jalan Air Kuning-Batang Melaka, tengah hari tadi. - Foto ihsan PDRM

TAMPIN: Dua pelajar Tingkatan Enam Rendah sebuah sekolah menengah di sini, maut apabila motosikal yang mereka tunggangi terbabas di Kilometer 1.7 Jalan Air Kuning-Batang Melaka di sini, tengah hari tadi.

Dalam kemalangan jam 12.35 tengah hari itu, dua pelajar perempuan itu, S Ramya, 18, dan pembonceng, S Gejaletchumi, 19, dalam perjalanan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Mohd Taha, Gemencheh, untuk pulang ke rumah masing-masing di Air Kuning Selatan.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, berkata penunggang dipercayai gagal mengawal kenderaan itu yang terbabas ke kiri jalan, lalu melanggar sebuah papan tanda arah jalan.

"Motosikal itu kemudian merempuh sebatang tiang elektrik menyebabkan motosikal rosak teruk. Kedua-dua mangsa yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hamazah berkata, lokasi kemalangan adalah berselekoh, manakala permukaan jalan raya kering dan cuaca panas terik.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat, manakala siasatan dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X