Khamis, 13 Julai 2017 | 2:20pm

Tikam ibu kerana sebaldi air

MARAN: Seorang penganggur dipercayai di bawah pengaruh dadah, menikam ibunya selepas dikatakan tidak berpuas hati apabila ditegur membawa sebaldi air sungai ke rumah mereka di FELDA Jengka 10, Bandar Jengka, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mazlan Hassan, berkata, suspek berusia 40 tahun itu membawa sebaldi air sungai untuk membasuh tikar getah di rumah mereka kira-kira jam 6.45 petang.

Katanya, perbuatannya itu ditegur ibunya yang berusia 64 tahun kerana hari hampir malam manakala suspek dikatakan terus ke bilik air untuk mandi.

"Selepas mandi dan keluar dari bilik air, suspek menyerang ibunya secara tiba-tiba dan mencederakan mangsa dengan pisau.

"Kejadian itu dilihat jiran yang terdengar jeritan wanita berkenaan, lalu segera menghalang suspek daripada terus mencederakan ibunya,

"Wanita itu dibawa ke Hospital Jengka bagi mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mazlan berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran dengan bantuan orang awam.

Katanya, polis menemui sebilah pisau berhulu kayu berwarna coklat di kocek seluar kanan suspek.

"Pemeriksaan air kencing mendapati suspek positif Methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah termasuk berkaitan dadah dan mencuri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan," katanya.

Beliau berkata, mangsa cedera di telinga, badan dan peha serta sudah dibenar pulang selepas menerima rawatan.

Berita Harian X